9 Jenis Makanan Yang ‘Penting’ Tetapi Tidak Baik Untuk Kesihatan

Bismillahirrahmanirrahim..

UM masih teringat kisah Sang Raja yang memiliki 3 puteri cantik. Dipendekkan cerita, raja ini menyambut hari lahirnya dan ketiga-tiga puterinya yang sudah berkahwin itu datang ke istana dengan membawa hadiah masing-masing. Mereka membawa pelbagai jenis perhiasan yang mahal-mahal sebagai hadiah, kecuali puteri bongsu yang membawa garam dan air. Raja terlalu murka. Dipendekkan cerita lagi, ketika raja tadi bertandang ke rumah anakandanya yang pongsu, baginda dihidangkan dengan makanan yang serba tawar dan tanpa air minuman. Lalu baginda bertanya apakah sebabnya?. Jawab puteri bongsu tadi, itulah pentingnya garam dan air dalam kehidupan. Haha…Cerita ini masih diingati sehingga sekarang dibaca di dalam majalah Tatih zaman sekolah rendah dulu (kalau tidak silap)..


Apa kaitannya dengan tajuk entri kali ini?

Garam juga termasuk dalam kategori makanan atau elemen penting dalam makanan bukan? Ianya mengenai 9 jenis makanan yang ‘glamour’ dan UM cukup yakin wajib ada atau seolah-olah menjadi keperluan penting dalam menu harian setiap isi rumah di Malaysia.

Makanan-makanan ini sangat tinggi kandungan garamnya dan jika diambil dalam kuantiti yang banyak akan menjejaskan kesihatan.
Sebelum itu, mari kita lihat berapa banyakkah garam yang diperlukan mengikut diet sihat secara umumnya?

Hanya 1500 mg garam dan tidak melebihi 2300 mg garam diperlukan untuk tubuh kita seharian secara umumnya.Ini termasuklah 'garam tersembunyi' yang terdapat didalam makanan-makanan tertentu.Namun, percayalah kebanyakan kita biasanya akan mengambil secara berlebihan daripada amaun yang diperlukan oleh tubuh. Bagi individu dewasa yang sihat, garam boleh disingkir dari tubuh melalui ginjal menerusi air kencing.

Kita sangat bernasib baik kerana buah pinggang mampu memproses secara efisien amaun natrium yang berlebihan ini. Kajian menunjukkan, kebanyakan individu mampu bertoleransi terhadap amaun pengambilan natrium untuk julat yang besar iaitu antara 250mg/hari sehingga 3000mg/hari. Namun apakah yang akan terjadi kepada buah pinggang kita sekiranya setiap hari sepanjang hidup bekerja untuk menyingkirkan garam berlebihan? Membebankan bukan? 

9 Jenis Makanan Yang Sangat ‘Glamour’ Tetapi Tidak Baik Untuk Kesihatan :

  1. Sos berperisa seperti kicap, sos cili, sos tomato dan sos tiram (1000 mg hingga 5000 mg)
  2. Stok / kiub makanan ( 3000 mg ). Setiap kiub biasanya mengandungi 700 mg
  3. Sos salad seperti mayones (lebih 1000 mg)
  4. Makanan di dalam tin (500 mg hingga 1500 mg )
  5. Telur masin (500 mg)
  6. Ikan masin ( 1500 mg)
  7. Buah-buahan jeruk (masin) (1000 mg)
  8. Udang kering ( 4000 mg)
  9. Belacan ( 1000 mg)

Pentingkah makanan ini ? Ya. Tak canggih , tapi biasa kita makan bukan? Pelbagai jenis sos itu wajib ada di dapur kita.Belum cerita kisah garam di dalam ‘fast food’ dan ‘junk food’ yang lebih glamour dengan pelbagai iklan itu !

Seperkara lagi adalah fakta yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia gemar mengambil penambah perisa makanan seperti kiub ayam pelbagai jenama di dalam masakan juga perlu diambil kira.

Tak nampak pun tulis garam kat bahagian kandungan atau ingredient tu?

Tahukah anda garam hadir dalam bermacam-macam wajah?

Antara ‘wajah-wajah’ garam adalah seperti berikut :
  • Natrium
  • Natrium nitrate
  • Natrium benzoate
  • Monosodium Glutamate
  • Pengganti garam iaitu garam yang ringan yang menggantikan fungsi garam seperti potassium dan magnesium
Pernahkah anda perhatikan atau ambil tahu setiap bahan masakan atau makanan yang anda beli? Banyak manakah kandungan garamnya?

Atau.. beli sahajalah…Makan sahajalah..asal sedap. Baik atau buruk untuk kesihatan kira kemudian. Yang penting sedap dan kenyang.

Tip membeli barang dapur dan sebarang makanan, untuk diet yang lebih sihat , selain perhatikan logo HALAL, HACCP, GMP, MESTI dan sebagainya, perhatikan juga bahagian Nutritional Facts nya atau ingredients sesuatu makanan. Sikap ambil tahu ini sangat penting untuk kesihatan kita. Begitu juga dalam masakan, kurangkanlah garam dalam masakan kita untuk mengurangkan beban tubuh kita menyingkirkan garam yang tidak perlu.

Tahukah anda ?

Menurut Dr Tee E Siong, Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia, satu sudu kecil sama dengan 5 g garam. Kandungan garam di dalam sos soya atau kicap bersamaan 6 sudu kecil (30 g garam), sos tiram (51 g garam) , cencaluk (45 g garam), budu (32 g garam), sos cili (174 g garam) dan sos tomato (208 g garam). Secara purata rakyat Malaysia dewasa mengambil 2575 mg garam perhari atau lebih.
Lebih menarik lagi, Orang Asli paling sedikit pengambilan garamnya sehari iaitu 945 mg/ hari!.

Antara masalah kesihatan yang diakibatkan oleh pengambilan diet berlebihan garam dan disokong dengan pengambilan makanan lain seperti lemak yang berlebihan ialah :
  • Jantung
  • Hipertensi
  • Strok
  • Buah pinggang
  • Kerosakan perut
  • Osteoporosis
Kesimpulannya, garam adalah sangat penting untuk kesihatan tubuh kita bahkan, kekurangannya boleh menyebabkan hiponatremia. Namun, berlebihan juga boleh mendatangkan masalah. Jadi, berpada-padalah dalam pengambilannya seharian.

Pesanan buat ibu-ibu dan bapa-bapa terutama generasi muda, lengkapkanlah diri kita dengan ilmu nutrisi, ilmu pemakanan juga agar kita mampu untuk ‘create’ generasi yang sihat dan ‘celik’ kesihatan. Sebenarnya bukan akhlak dan pembinaan rohani sahaja yang bermula dari rumah tetapi, pembentukan pola pemakanan anak itu dari kecil hingga dewasa dan membina keluarganya sendiri juga bermula dari tarbiyah ibu dan ayahnya. Bagaimana seorang ibu mengatur pola pemakanan yang sihat bermula dari kecil, itulah yang menentukan tahap kesihatan generasinya.


Wallahu A’lam.

Semoga bermanfaat untuk semua !.

The doctor of the future will give no medicine, but will interest his patients in the care of the human frame, in diet, and in the cause and prevention of disease.
(Thomas Edison)

0 comment... add one now