Sebelum bermula , mari kita tanya diri sendiri , sudah berapa lama kita tidak membuat pemeriksaan dan pembersihan terhadap peti sejuk kita ?
Adakah kita mempunyai tanggapan bahawa semua stok makanan kita selamat dan tahan serangan bakteria setelah kita letakkan di dalam peti sejuk ? Jangan terlalu yakin dengan dengan tahap kesejukan peti sejuk kita. Sekali- sekala kita perlu meragui kemampuan peti sejuk untuk mengelakkan peti simpanan makanan kita itu menjadi peti menternak bakteria!
Mari kita tengok bagaimanakah kita boleh memastikan makanan di dalam peti sejuk selamat untuk dimakan.
Pentingkah untuk ambil tahu cara penyimpanan yang betul? Ya! Mesti tahu untuk :
- memastikan makanan akan tahan lebih lama.
- memastikan makanan berada dalam keadaan yang selamat sehingga dimakan.
- mengekalkan rupa dan rasa makanan tersebut.
- mengekalkan kesedapan makanan tersebut.
- mengekalkan kandungan nutrien.
Tip penggunaan peti sejuk yang betul :
- Bagi memastikan peti sejuk berfungsi dengan baik ia mesti diletakkan di tempat yang mempunyai pengaliran udara yang baik dan jauh dari sumber haba dan cahaya matahari.
- Pastikan julat suhu diruang peti sejuk di bawah 4°C untuk ruang pendingin peti sejuk (chiller) dan -18°C hingga 0°C bagi ruang sejuk beku (freezer). Suhu yang lebih tinggi akan merosakkan makanan yang didinginkan dan suhu yang lebih rendah akan menyebabkan masalah pembekuan.
- Kapasiti atau keupayaan peti sejuk hendaklah cukup besar untuk memenuhi keperluan anda. Ianya hendaklah cukup sejuk untuk menyejukkan semua bahagian makanan hinggalah ke suhu yang diingini dalam tempoh yang singkat.
- Jangan penuhkan sesuatu ruang agar udara sejuk beredar dengan baik di dalam peti sejuk. Penyimpanan makanan yang terlalu padat dalam peti sejuk akan menyebabkan udara sejuk tidak dapat beredar dengan baik untuk menyejukkan makanan.
- Bersihkan peti sejuk setiap minggu menggunakan disinfektan yang sesuai bagi mencegah bau busuk, kotoran dan kulat. Buka pintu sedikit untuk membolehkan udara beredar sebelum meletak semula makanan ke dalam peti sejuk.
- Jangan buka peti sejuk terlalu kerap. Udara panas akan masuk dan udara sejuk dari peti sejuk akan keluar dan menyebabkan suhu peti sejuk meningkat.
- Jangan biarkan pintu peti sejuk terbuka lama.
- Pastikan peti sejuk ditutup dengan betul dan rapat. Periksa getah (seal) di pintu peti sejuk bagi memastikan ia masih berfungsi dengan baik.
- Sekiranya peti sejuk tidak mempunyai sistem pencairan automatik di ruang sejuk beku (automatic defrost setting) ,pastikan ais dalam ruang sejuk beku tidak terlalu tebal dan sentiasa dibersihkan bagi memastikan ia berfungsi dengan efisien.
- Penyimpanan makanan dalam peti sejuk
- Menyimpan makanan dengan betul dalam peti sejuk akan membantu untuk meminimakan makanan menjadi basi, tercemar dan rosak. Makanan boleh disimpan dalam peti sejuk di ruang dingin (chiller) dan juga diruang sejuk beku (freezer).
- Baca label pada pembungkus/bekas makanan untuk cara menyimpan sebelum dan selepas membukanya.
Panduan asas penyimpanan makanan di ruang pendingin (chiller) peti sejuk:
- Simpan makanan mentah dan makanan yang telah dimasak dalam ruang yang berbeza dan bertutup.
- Simpan semua makanan yang telah dimasak di dalam bekas atau beg plastik yang bertutup, dibungkus dengan plastik nipis atau kertas aluminium bagi mengelakkan pengeringan, pencemaran, perubahan bau dan tumpah.
- Simpan makanan masak di bahagian atas dan makanan mentah di bahagian bawah bagi mengelakkan pencemaran. Makanan yang telah dimasak boleh jadi tercemar walaupun bercampur sedikit saja bahan mentah. Bahan mentah seperti daging dan sayur-sayuran biasanya mengandungi kuman yang boleh mencemar makanan yang telah dimasak.
- Simpan sayur-sayuran di dalam beg plastik berlubang dalam ruang sayur-sayuran. Ini bagi mengurangkan kehilangan air dan untuk peredaran udara.
- Simpan buah-buahan dan sayur-sayuran berasingan kerana ia boleh menyebabkan pengumpulan gas ethelene dalam peti sejuk yang akan merosakkan makanan.
- Simpan mentega atau marjerin berasingan dari ikan dan buah-buahan kerana ia boleh berubah dengan bau tersebut.
- Simpan telur dan makanan berasaskan telur berasingan dari bawang bagi mengelakkan ia berubah dengan bau bawang.
- Jangan simpan makanan panas terus di dalam peti sejuk. Ia hendaklah disejukkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Makanan yang panas perlu disejukkan dulu sebelum disimpan untuk menghalang pertambahan kelembapan dan mengekalkan suhu di dalam peti sejuk.
- Jangan menyimpan makanan dalam tin yang telah dibuka dalam peti sejuk. Ini kerana jika disimpan dalam tin yang asal, kandungannya akan bertindak balas dengan logam tin tersebut apabila terdedah ke udara. Pindahkan makanan tersebut ke dalam bekas plastik atau kaca bertutup sebelum disimpan ke dalam peti sejuk.
- Jangan menyimpan daging, ikan dan ayam di dalam peti sejuk lebih dari 3 hari. Kandungan protein dan kelembapan yang tinggi di dalam makanan tersebut akan menggalakkan pembiakan kuman dan menyebabkannya cepat rosak.
- Jangan simpan makanan yang telah dimasak lebih dari 3 hari di dalam peti sejuk.
Panduan asas penyimpanan makanan diruang sejuk beku (freezer):
- Simpan daging, ayam dan ikan dalam bekas atau beg plastik yang kedap udara bagi menghalang kehilangan kelembapan yang boleh menyebabkan kekeringan dan untuk mengelakkan pencemaran bahan makanan lain dengan baunya.
- Potong dan bungkus daging ,ayam ,itik atau ikan di dalam saiz hidangan yang bersesuaian dengan penggunaan anda sebelum dibekukan. Saiz yang lebih kecil akan lebih mudah beku dalam masa yang singkat.
- Bungkus makanan dengan bekas plastik atau beg beku sebelum disimpan ke dalam ruang sejuk beku (freezer).
- Basuh daging, ikan dan ayam dengan sempurna sebelum disimpan di ruang sejuk beku. Daging dan ikan hendaklah disimpan dalam ruang sejuk beku secepat mungkin selepas dibeli dan dibersihkan untuk mengelakkan kerosakan.
- Nyahbeku bahagian yang diperlukan sahaja. Elakkan menyejukbeku semula makanan yang telah dinyahbeku.
- Jangan simpan buah-buahan atau sayur-sayuran di ruang sejuk beku. Suhu pada tahap beku akan merosakkan tisu buah-buahan dan sayuran.
- Jangan menyimpan beku makanan dalam tin. Kandungan makanan dalam tin itu akan mengembang pada tahap beku dan keadaan ini akan merosakkan tin tersebut.
Tunggu apa lagi ????? Mari kita 'makeover' peti sejuk kita supaya lebih tersusun dan selamat untuk seisi keluarga. Diet seimbang, gaya hidup sihat, rumah dan kelengkapannya tersusun kemas dan selamat....Hidup lebih sihat dan tenang. Gitu.
3 langkah mudah untuk keselamatan peti sejuk kita :
1. Bersihkan secara menyeluruh
2. Susun atur bahan makanan dan labelkan
3. Pastikan sentiasa kemas selepas disusun
Infografik cara penyusunan di dalam peti sejuk kita :
Cadangan :
Gunakan bekas plastik (BPA Free) untuk menyimpan makanan, sayuran dan buah-buahan. (tidak disimpan di dalam plastik biasa- sumbat-sumbat dan tindan-tindan kan?? Hehe).
UM biasanya menggunakan 'freezermate' Tupperware tu untuk tujuan ini. (saya tidak jual Tupperware! Hehe).
Dan... inilah hasilnya (biar tak berapa cantik, asalkan kemas. Gambar ini diambil sebelum ke pasar untuk beli barang basah ).
Terdapat beberapa idea yang boleh digunakan untuk menyimpan makanan di dalam peti sejuk.
http://www.classyclutter.net |
credit to google image |
Mudah pun mudah kan nak cari barang bila ingin memasak...
Semoga bermanfaat untuk kehidupan yang lebih baik dan tersusun....
Peti sejuk di salah sebuah premis makanan yang diarahkan tutup..(gambar) Credit to Sinar Harian. |
Ada selera ke nak makan kalaulah begitu gaya peti sejuknya ???....Tepuk dada tanya selera. Haha. Peace !
Wallahu a'lam. Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua.