20 Petua Rezeki Yang Berkat Elak Anak Tidak Mendengar Kata

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah, masih diberi kekuatan untuk menulis. Dua hari pencen. Muhasabah diri. Soal rezeki. Soal jodoh. Soal anak !.

Ada satu perbincangan yang UM  'join' dalam WhatsApp Group. Tentang kebersihan dan keberkatan rezeki yang memberi kesan dalam kehidupan terutamanya dalam aspek pendidikan anak-anak.

Rezeki boleh jadi mudah,boleh jadi sempit disebabkan diri kita.

UM suka kongsi semula tulisan saudara Hashim Ahmad yang dimuatkan dalam akhbar Utusan :

image : todayonline.com


Perkara penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita peroleh tetapi sebaliknya, ada atau tidak keberkatan di dalam rezeki itu.

Rezeki melimpah-ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat. Ada orang mempunyai rezeki yang banyak tetapi sayangnya di dalamnya tidak terdapat unsur keberkatan.

Betul kan? Ada orang kita tengok, banyak rezekinya, tidak kiralah, anak, harta benda, duit dan sebagainya, tapi masih lagi melakukan perkara mungkar, kelurga bergaduh kacau bilau. Ada orang duitnya sedikit, kais pagi makan pagi, tapi setiap kali ke masjid, ada sahaja buah tangannya untuk tabung masjid. Keluarganya tenang, aman damai, anak-anak bijak, pandai dan soleh semuanya. Wallahu a'lam. UM tidak mahu komen banyak tentang ini. Mari kita muhasabah diri.

Di dalam Islam, keberkatan rezeki yang diinginkan adalah bermaksud rezeki yang bertambah dan mengandungi kebaikan di dalamnya. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki menjadi lancar, berkat dan halal. Antaranya :

1.Menjauhi pekerjaan haram dan syubhah.

Setiap orang hendaklah taat kepada Allah SWT dan tidak melakukan dosa kerana dosa akan menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat At-Tirmizi).

Selain itu, dekatkanlah diri kepada Allah dengan ibadah tambahan seperti solat Dhuha dan solat Tahajud.

2. Bekerja sungguh-sungguh

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT senang melihat hamba-Nya bersusah payah (kelelahan) dalam mencari rezeki yang halal." (Riwayat Ad-Dailami)

3. Mengadu masalah rezeki hanya kepada-Nya

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa tertimpa kemiskinan, kemudian ia mengadukannya kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya itu. Namun, siapa sahaja yang mengadukannya kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki, baik segera ataupun lambat." (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

4. Memperbanyakkan beristighfar

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memperbanyak istighfar, Maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak pernah disangka-sangkanya." (riwayat Imam Ahmad)

5. Sabar dan banyak membaca la hawla wa laa quwwata illa billah.

Diriwayatkan bahawa Salim, anak laki-laki ‘Auf bin Malik Al-Asya’iy telah ditawan oleh orang musyrik. Kemudian, ‘Auf datang mengadu kesedihannya kepada Rasulullah.

Baginda SAW berkata: “Bertakwalah kepada Allah, bersabarlah dan aku anjurkan agar kamu dan isterimu memperbanyak bacaan, La hawlah wa laa quwwata illa billah. ‘Auf kembali ke rumahnya dan menyatakan suruhan Rasulullah SAW itu. Keduanya, segera melaksanakan perintah Rasulullah SAW. Akhirnya, anaknya berhasil meloloskan diri daripada musuh dan membawa ternakan kambingnya sebanyak 4,000 ekor di hadapan ayahnya. (Tafsir Qurthubi, surah al-Thalaq: 3)

6. Tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana Allah telah memberi rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya dengan perut kenyang. (Riwayat Bukhari)

7. Bersedekah dan nafkahkan harta kepada yang berhak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada tiga hal yang aku bersumpah kepadanya dan aku akan menyampaikan suatu berita kepadamu, maka perhatikan benar-benar: Tidak akan berkurang harta seseorang kerana sedekah dan tiadalah seseorang membuka pintu meminta-minta melainkan Allah akan membukakan kepadanya pintu kemiskinan." (Riwayat At-Tirmizi)

8. Tolong agama Allah dengan menegakkan syariat Islam

Firman Allah SWT bermaksud: Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)

Berusahalah sedaya upaya untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Sampaikanlah tentang agama Islam kepada semua yang ada di sekeliling kita.

9. Jauhi dosa besar mahupun dosa kecil.

Usahakanlah untuk kita sedaya upaya untuk menjauhi dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Berdoalah agar, pekerjaan kita, perniagaan kita serta usaha-usaha yang kita lakukan akan mendekatkan diri kita dengan Allah bukan menjauhkan diri kita dengan Allah, pemilik rezeki. Sentiasa bertaubat kepada Allah.

10. Laksanakan perintah Allah terlebih dahulu sebelum urusan lain.

Dalam hal ini, selalunya kita diingatkan untuk menunaikan perintah Allah terlebih dahulu sebelum urusan-urusan pekerjaan kita atau perniagaan kita. Paling mudah, solat fardhu 5 waktu on time. Sejauh mana kita menjaga 'on time' nya solat fardhu itu, ia akan menjadi parameter keberkatan rezeki yang kita usahakan.

Tak kata orang lain, UM sendiri pun. Masa iman merudum, tangguh 5 minit, kemudian 10 minit, 20 minit...Azan berlalu sekian lama, tapi kita masih ralit dengan kerja-kerja. Kita lupakah pada Yang Maha Memberi Rezeki ?


11. Tunaikanlah zakat.

Tunaikanlah zakat. Jangan buat-buat lupa sekiranya sudah cukup syarat-syaratnya. Bukan zakat fitrah semasa bulan Ramadhan sahaja ya! Dunia hari ini, bayar zakat sudah boleh dilaksanakan secara online. Segalanya di hujung jari. Apakah alasan lagi?.


image : ihijabi.blogspot.com


9 Petua Keberkatan Rezeki Wanita dan Ibu Yang Berbisnes

1. Utamakan tanggungjawab yang lebih utama

Selesaikan dahulu hak-hak terhadap keluarga (suami dan anak-anak). Jangan abaikan hak-hak suami terhadap isteri. Anak-anak juga perlu diperhatikan, pendidikannya, akhlaknya , aqidahnya dan sebagainya. Pendek kata, banyak tanggungjawab wanita dan ibu. Sebab itu, tugas utama mencari nafkah bukanlah terletak di bahu isteri, namun keadaan yang kadang-kadang memaksa kaum ibu berusaha lebih membantu keluarga. Dan, sebagai wanita , kita perlu bangga kerana Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid juga seorang jutawan !. Tidak salah wanita berbisnes, namun tanggungjawab yang utama perlu deselesaikan dahulu. Atur kehidupan sebaiknya.

2. Mohon izin suami

Keberkatan yang kita cari dalam rezeki seharian ini berkait rapat dengan izin suami. Mohonlah izin suami terlebih dahulu sekiranya ingin berbisnes. Berbincanglah sebaiknya. Ianya akan memudahkan kita di kemudian hari. Suami akan lebih memahami kesibukan kita, suami akan saling membantu menguruskan rumah tangga. Paling utama, Allah redha apa yang kita lakukan. InsyaAllah.

3. Luruskan niat berbisnes dan matlamatnya

Apakah niat utama untuk berbisnes? Kerana apa ? . Mesti tahu juga apakah matlamat kita berbisnes. Membantu suami? Perlukan modal untuk pendidikan terbaik untuk anak-anak? Ingin bersedekah ? Ingin menjadi pembayar zakat paling banyak? Pastikan ianya ikhlas kerana Allah dan jelas matlamatnya. Bukan kekayaan dunia yang kita cari tetapi biarlah kekayaan yang Allah rezekikan kepada kita nanti menjadi saham akhirat. 

4. Menjaga solat

Percaya atau tidak, wanitalah yang agak sukar menjaga solat (iaitu solat fardhu). Terutamanya seorang ibu. Masa mahu menunaikan solatlah, macam-macam 'request' dari anak-anak terutamanya yang memiliki anak masih kecil. Betul kan? Namun, usahalah sedaya upaya untuk menjaga solat agar rezeki lebih berkat dan menjadi teladan kepada anak-anak.

5. Banyakkan amalan sunat

Amalan sunat yang dimaksudkan adalah amalan-amalan sunat yang menampung lompong-lompong yang fardhu tadi, termasuklah puasa sunat, solat-solat sunat, zikir harian dan sebagainya. Berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba Allah yang terbaik.

6. Jujur dan amanah dalam perniagaan

Amanah dan jujur dalam setiap langkah perniagaan kita. Check dan recheck berulangkali dari manakah datangnya pendapatan kita setiap bulan. Tunaikan janji apabila berjanji. Juga jangan lupa, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Bersedekahlah !

7. Reward pekerja, pembantu atau anak buah 

Suasana kerja bersama-sama yang kita wujudkan akan menyebabkan orang suka bekerja bersama-sama dengan kita. Rezeki lebih melimpah ruah dan berkat insyaAllah. Ini kes jika kita mempunyai pekerja, pembantu atau anak buah yang bersama-sama menjalankan bisnes dengan kita. Selain itu, ianya juga termasuk di dalam kategori bersedekah bukan?.Jangan tunggu dapat banyak baru mahu memberi. Berilah apa yang ada dahulu. Tunggu banyak, takut tidak sempat mahu memberi. Betul kan?.

8. Carilah ilmu berbisnes cara Islam

Carilah mentor bisnes yang sesuai. Paling penting berbisnes dengan cara yang mengikut syariat bukan tangkap muat sahaja. Apabila melaksanakan urusan perniagaan, ianya menjadikan kita insan yang lebih baik dan dekat dengan Allah bukan makin sibuk dan jauh dengan Allah.

9. Usah kejar duit

Usahlah mengejar duit, kerana ianya akan lari. Pernah dengar ayat seperti itu ? Kejarlah keberkatan rezeki, insyaAllah duit dan kekayaan menghampiri.


Banyak lagi sebenarnya petua untuk mendapatkan rezeki yang melimpah-ruah dan berkat.

Apakah kaitannya rezeki yang berkat dengan anak yang tidak mendengar kata?

Ada kaitannya. 

Daripada rezeki itulah kita menyuap makanan ke mulut-mulut kecil itu bukan? Daripada rezeki itulah kita memakaikan mereka dengan pakaian baik-baik bukan? Dengan rezeki itulah kita menyekolahkan mereka dan lain-lain.

Lalu, sentiasalah muhasabah diri kita. Apabila anak menunjukkan perangai yang tidak berapa kena di mata kita atau sukar mendengar nasihat atau susah untuk dididik, ianya adalah cerminan diri kita, tingkah laku kita, tindak tanduk diri kita ibu dan ayahnya, rezeki yang kita peroleh dan guna untuk keperluan mereka.

Mari sama-sama mohon ampun daripada Allah, istighfar atas kesilapan-kesilapan kita. Berubah menjadi lebih baik.

Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Moga-moga ianya bermanfaat untuk semua ibu bapa. Marilah mencari keberkatan rezeki baik dalam pekerjaan seharian mahupun perniagaan yang kita usahakan.

Wallahu A'lam.


5 comments.. read them below or add one

Unknown Unknown April 03, 2016
Thanks hawa ats perongsian yang sangat bermanfaat.

Tahniah tau menang giveaway myliferia, nanti tuntut hadiah tau :)
tinta marjaan tinta marjaan April 03, 2016
Hihi..terima kasih..nanti saya tuntut ye (macam pelik bunyin nya..hihi). Moga terus murah rezekinya ya sis..
Mami Aisyah Mami Aisyah April 13, 2016
Thanks Hawa atas peringatan tentang keberkatan isteri tu :)

www.bumpyella.com
tinta marjaan tinta marjaan April 14, 2016
Welcome. Peringatan untuk diri sendiri juga, Insya Allah.
MedinaAisy MedinaAisy May 04, 2016
Perkongsian yang hebat dan berguna...