Penat Solat Dhuha 12 Rakaat !Tak Sempat ! Saya Sibuk!


Alamak! Banyaknya 12 rakaat tu. Sekali-sekala bolehlah. Sibuk setiap hari. Manalah sempat nak Dhuha 12 rakaat kan. Kerja lagi, anak lagi dan kalau kerja, mana mungkin boleh ambil masa yang lama untuk solat, sujud lama-lama, doa panjang-panjang. Dua rakaat??.

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah...Suatu ketika dahulu saya juga begitu. Bukan kerja yang boleh duduk-duduk lama-lama di hadapan komputer, tetapi ke hulu ke hilir masuk bahagian production, kejap ke bahagian packing,kejap ke bahagian delivery,kejap tengok notification daripada customer,kejap meeting, kejap kena jumpa bahagian purchasing... Alahai! Sibuknya aku.Konon.

Tetapi sebenarnya, kita yang yang menentukan kesibukan kita. Bekerja di rumah pun sibuk juga. Anak lagi, mana nak kena kemas rumah, nak masak makan tengahari. Suami pula telefon minta carikan barangnya yang tertinggal, lupa nak dibawa ke pejabat. Pokok bunga nak kena siram... lagi banyak dan lagi renyah rasanya aktiviti di rumah.

Kesimpulannya, semua manusia diberikan masa yang sama, hidup di dunia yang sama, diberikan ujian kesibukan mengikut kemampuan masing-masing. Ye dak? Tapi, ada manusia yang masih meletakkan kesibukan utamanya untuk berkhalwat dengan Allah mengatasi kesibukan-kesibukan yang lain. Mari perhatikan jadual kehidupan harian kita, ada atau tidak masa untuk solat sunat Dhuha?? 10 minit pun jadilah.Asal tertib dan sempat berdoa.Tertulis atau tidak di jadual itu masa untuk solat sunat Dhuha??. Jika ada, alhamdulillah, ada niat untuk solat Dhuha.Yang tertulis cantik nak solat Dhuha di jadual pun belum tentu buat, apalagi yang tidak pernah tulis.Pernah terfikir?

Jika sudah berniat, mohonlah kekuatan daripadaNya untuk sentiasa ringan tubuh ini untuk melaksanakan ibadah sunat mahupun wajib. Mohonlah setiap hari, agar kita menjadi hamba yang sentiasa dekat dengan Allah.

" Ya Allah! Hari ini aku ingin solat di awal waktu untuk semua solat wajib. Mudahkanlah urusan-urusanku yang lain."

"Ya Allah! Hari ini aku ingin solat sunat Dhuha, mudahkanlah segala urusanku yang lain supaya ada masa untukku tunaikan solat ini."

"Ya Allah! Ringankanlah seluruh anggota tubuhku untuk melakukan ibadah kepadaMu, melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan sentiasa memohon ampun kepadaMu kerana aku tidak pernah tahu bilakah masanya nyawaku akan diambil kembali. Aku mohon padaMu Ya Allah, Kau matikanlah aku dalam iman dan husnul khatimah."

Andaikata, dalam urusan lain kita boleh berdoa secara spesifik, sepatutnya dalam urusan ini kita lebih spesifik doanya.

Solat sunat Dhuha membuka pintu rezeki. Ya . Memang betul.Tapi kena faham betul-betul. Bila kita benar-benar ikhlas, bukan solat sebab mahu duit banyak berkepuk-kepuk,rumah berderet tetapi solat kerana Allah. Bila hati dan jiwa bersih, sentiasa dekat dengan Allah, Allah mudahkan segala urusan baik kewangan, keluarga dan lain-lain...Allah berkati setiap yang diusahakan.Solat tanda syukur kita kepada Allah.


Ingat! Rezeki dan nikmat bukan hanya pada harta yang banyak! Jom istiqamah solat sunat Dhuha.




0 comment... add one now